Selamat Datang diucapkan kepada semua teman-teman kaki pancing di Negara Brunei Darussalam dan para pengunjung lainnya. Adapun blogspot in dibuat bertujuan berkongsi pengalaman dan pengetahuan, mengenal pasti tempat atau lokasi yang selamat untuk dikunjungi bagi menjalankan aktiviti memancing. Mengenal jenis-jenis ikan yang terdapat di perairan Brunei maupun di sungai, di tepian pantai atau di laut buka. Mengenang kembali kenangan-kenangan manis sewaktu memancing melalui gambar-gambar memancing. Terakhir penulis ingin mengucapkan Ribuan Terima Kasih kepada rakan-rakan yang berkesudian melayari blogspot ini. Sekian Terima Kasih.

Brunei Time

Thursday, April 30, 2009

GT, alu-alu penawar hampa

GT, alu-alu jadi penawar hampa

Oleh Yuwl

BANDAR SERI BEGAWAN - Akhirnya trip memancing yang ditunggu-tunggu tiba setelah beberapa kali rancangan ini tidak menjadi kerana beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

Malah 'anchor' kami, Amnri Zainuddin yang sibuk menguruskan tempahan dan sebagainya terpaksa menarik diri di saat akhir kerana terpaksa ke Kuala Lumpur untuk membuat liputan Grand Prix Formula Satu Malaysia.

Setelah kata putus diambil, tempatnya digantikan dengan orang lain dan Ah Cai mengambil alih tugas sebagai ketua kami.

Dia mengarahkan kami semua berkumpul di kawasan letak kereta di Pantai Serasa pada pukul 8 malam 4 April lalu. Sebelum itu saya, Ah Cai dan Yap singgah dulu ke Pekan Muara untuk mengalas perut. Kata orang tua-tua untuk mengelakkan mabuk laut, tapi...

Kemudian kami bergerak menuju destinasi perkumpulan di Pantai Serasa dan hampir semua geng sudah pun berada di sana. Ketika itu, hujan semakin reda walaupun sebelumnya kilat sabung-menyabung di dada langit.

Kami menaiki bot Apollo sepanjang 63 kaki yang dilengkapi kemudahan terkini termasuk Sistem Pengesanan Global (GPS) seperti Furuno Color TFT chartplotter, Lowrance chartplotter dan Garmin GPS, telefon satelit Ericcson, radar Furuno, Furuno Color TFT Fishfinder 2600ft depth range, High End Lowrance Fishfinder 3000ft depth range dengan Rakaman Digital serta pelbagai lagi.

Trip ini disertai 12 kaki pancing namun ramai yang langsung tidak pernah menikmati rasa melayan tarikan ikan di tengah laut dalam menggunakan bot besar.

Semuanya membawa 'senjata' yang hebat-hebat belaka daripada berjenama Daiwa, Shimano, Penn, Shakespeare dan DAM hinggalah kirikan tradisional.

Memandangkan perjalanan dari Serasa ke Maharaja memakan masa lima jam untuk sampai, ramai antara kami tidur di bilik terlebih dahulu. Mungkin inilah padahnya! Apabila sampai saja ke Maharaja, hampir semua kami mabuk laut kecuali Ah Cai seorang yang tidak tidur sehingga balik!

Walaupun mabuk, hati digagahi juga untuk sekurang-kurangnya 'membasahkan' rod pancing. Kami semua sepakat melakukan 'jigging' terlebih dahulu. Mula-mula kami menggunakan jig seberat 250g namun oleh kerana arus di bawah kuat, memaksa kami untuk menggunakan jig seberat 350g ke atas tapi tiada respons.

Saya yang baru pertama kali mencuba kaedah ini dengan menggunakan peralatan pancing PE 4-5 dengan jig seberat 300g sudah termengah-mengah mengarau jig dari kedalaman 200 kaki. Ditambah lagi apabila jig saya tersangkut di kipas kapal hingga menyebabkan jig itu menjadi takat untuk selamanya, saya pun terus berehat di bilik hingga ke waktu pagi.

Ah Cai yang dari awal tidak berhenti-henti memancing tiba-tiba membangunkan kami semua apabila memberitahu GT (giant traveller) sedang 'hot' di sekeliling kapal. Kami yang sedang lena diulit mimpi terus bangun mengambil posisi masing-masing untuk melakukan 'popping'. Beliau sendiri berjaya memperoleh seekor GT atau 'bemasa' seberat 4 kilo.

Suasana mula meriah apabila GT yang ramah tidak berhenti-henti menyambar popper kami. Namun walaupun beberapa kali sambaran diterima, hanya empat ekor sahaja berjaya dinaikkan. Tangkapan terbesar waktu itu ialah 4.5 kilogram.

Di sebelah pagi, selepas bersarapan kami hanya menggunakan kaedah bottom fishing kerana masing-masing sudah mabuk dan ada yang sudah beberapa kali muntah. Rod yang digunakan ialah dari saiz PE 4-5 dan batu berat sehingga 500g serta menggunakan umpan mati seperti ikan basong-basong dan sotong.

Namun, tiada reaksi dari ikan sehingga tengah hari. Tiba-tiba Ah Cai yang baru mengarau kekilinya ditarik oleh ikan dengan kuatnya sehingga terpaksa menggunakan bantuan tali pinggang pancing untuk menjinakkan ikan keluar dari lubuknya. Apabila ikan hampir di permukaan air, rupa-rupanya sang alu-alu memakan umpan. Ikan yang dianggap pengacau inilah yang menjadi penghibur kami oleh kerana tiada ikan lagi yang memakan umpan.

Namun sayang, baru sahaja hendak dicangkuk ke atas, ikan yang terkenal dengan giginya yang tajam ini berjaya melepaskan diri. Apabila diamati dari dekat, hampir lurus dibuatnya mata kail itu. Sebab itu kami dinasihat menggunakan mata kail sekurang-kurangnya bersaiz 5/0 ke atas dari jenama tersohor seperti VMC dan Mustad supaya tidak putih mata.

Kami membuat beberapa teori di mana spesies alu-alu ini bergerak dalam satu kelompok. Dan hasilnya tidak lama apabila Ahmad, seorang daripada geng pancing yang memang 'heng' hari itu berjaya menaikkan alu-alu atau lingkuh.

Keadaan permukaan laut yang hampir tenang dan tidak berombak membuatkan kami sekadar menunggu hinggalah ke petang. Biar pelbagai cara dan umpan digunakan, selepas itu kami hanya menjadi penanti yang setia.

Tatkala hampir waktu untuk pulang, kami mencuba taktik anjun untuk menduga nasib. Dan kali ini kami berjaya menaikkan beberapa spesies seperti ikan sulit, kerapu bara, kerapu biasa dan kerisi yang sederhana saiznya.

Biarkan misi ini kurang berjaya, kami pulang dengan tekad baru - lubuk drop-off akan kami jelajah selepas ini!

Berita dipetik dari: Laman Web www.brunei-online.com

Media permata bertarikh 25/26 April, Sabtu/Ahad.

0 comments:

Pesanan Dari Kami

"Berwaspadalah selalu ketika menjalankan aktiviti-aktiviti memancing sama ada ditepian pantai mahupun yang diluar pantai"

NSZ - CABARAN PANCING 2009

NSZ - CABARAN PANCING 2009

Pembekal Umpan Pancingan

  • Udang Hidup Kg. Tanah Jambu: Sham - 2792997
  • Udang Hidup Kg.Salambigar, Spg 700 No:37
  • Udang Hidup Kg.Salambigar, Spg 701-23 No:11
  • Udang Hidup Kg.Sg Buloh: Iran - Hp-8866079
  • Udang Hidup Kg.Sungai Buloh: Yasin - Hp- 8956733

Recent Comments

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP