Tuesday, June 9, 2009

Tinjau pulau, stesen penyelidikan ikan

Tinjau pulau, stesen penyelidikan ikan
Oleh Sim Y H

Gambar diatas cuma hiasan semata

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya Haji Bakar membuat tinjauan serta lawatan kerja ke kawasan Pulau Pilong-Pilongan dan Stesen Penyelidikan Pemeliharaan Ikan Marin, Jabatan Perikanan di Tanjung Pelompong, hari ini.

Turut menyertai rombongan itu ialah Timbalan Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Dato Paduka Haji Hamdillah Haji Abdul Wahab, Setiausaha Tetap kementerian, Dato Haji Mohammad Hamid Haji Mohammad Jaafar dan Pemangku Setiausaha Tetap Pengiran Haji Sharifuddin Pengiran Haji Metali.

Pulau Pilong-Pilongan merupakan antara kawasan yang mempunyai biodiversiti marin yang kaya dan terletak kira-kira 2 batu nautika dari pantai yang mempunyai takat-takat asli yang terindah di perairan Brunei.

Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya berpeluang menyaksikan kegiatan pembersihan takat-takat karang oleh penyelam Jabatan Perikanan dengan kegiatan itu dilakukan untuk membersihkan takat-takat daripada pukat rosak yang tersangkut yang jika dibiarkan boleh merosakkan kehidupan laut di kawasan berkenaan serta menjejaskan produktiviti kawasan itu dalam jangka masa panjang.

Menteri serta rombongan kemudian membuat lawatan ke Stesen Penyelidikan Pemeliharaan Ikan Marin di Tanjung Pelompong serta diberikan taklimat mengenai stesen itu oleh pegawai-pegawai kanan perikanan.

Stesen itu mempunyai kemudahan operasi dengan 12 sangkar ikan jenis HDPE berbentuk segi empat tepat berukuran 5mx5mx2.5m dan dilengkapi dengan pukat sangkar dan sauh konkrit serta workshed.

Kemudahan lain yang terdapat di stesen itu termasuk bilik pejabat, bilik taklimat, bilik staf, dapur dan tandas. Stesen itu berfungsi bagi melaksanakan penyelidikan dan perkembangan ikan laut yang berpotensi untuk dikomersialkan, menentu sahkan teknologi pemeliharaan ikan laut dan pemindahan teknologi kepada pengusaha-pengusaha sangkar.

Ikan laut yang dipelihara adalah ikan siakap, ikan kerapu harimau dan ikan jenahak.

Pehin Dato Seri Setia Haji Yahya juga melepaskan anak-anak kerapu ke dalam sangkar untuk dibesarkan.


Artikal penulisan dipetik dari http://www.brunei-online.com/mp/selasa/jun9t3.htm


Media Permata, Selasa 09.06.2009

No comments:

Post a Comment