Sunday, February 3, 2008

Padian


Padian

“Padian” ialah peniaga perempuan yang menjaja barangan dengan menggunakan perahu dari rumah ke rumah mengikut kawasan yang telah dimaklumi oleh golongan mereka. Dipercayai “padian” ini telah wujud sejak ratusan tahun yang lampau. Antara bukti kewujudannya adalah catatan yang buat oleh Pigafetta semasa dia melawat negara ini dalam tahun 1521; Pigafetta mengatakan bahawa: “When the tide rises, the women go in boats through the city selling provisions and necessaries”.[1]

Barangan yang lazimnya menjadi dagangan kaum “padian” lebih berbentuk barang-barang makanan dan keperluan dapur seperti ikan, sayuran, sagu, pisang dan kayu api. Barangan ini kebanyakannya diperolehi daripada “pengalu”. Selain itu, seperti “pengalu” mereka juga dapat memperolehi barang dagangan daripada orang-orang pedalaman dan juga daripada nelayan untuk mendapatkan udang atau ikan yang didapati dengan menyerahkan sebahagian daripada barangan mereka kepada nelayan berkenaan. Ikan biasanya mereka beli secara pajak daripada nelayan, manakala segala sayuran dan buah-buahan pula diperolehi daripada kaum tani yang kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Kedayan. Caranya adalah dengan menukar barangan seperti garam, kain dan alat-alat yang diperbuat daripada besi.

Pada kebiasaannya golongan wanita yang ramai menjadi “padian” ini rata-ratanya berumur dalam lingkungan 40-an dan mahir berkayuh atau mendayung sampan. Barang-barang yang menjadi jualan mereka berupa makanan harian termasuk ikan, udang, buah-buahan, kuih-muih, dan sagu; juga kayu api, kain tenunan dan barang-barang perhiasan perak serta tembaga.

Adalah dipercayai bahawa aktiviti perniagaan atau perdagangan tradisi ini sudahpun wujud sejak beratus tahun lalu, iaitu sejak mula terbentuknya kerajaan Brunei yang berpusat di Kota Batu di sekitar abad ke 16. Aktiviti “Padian” yang berpusat di Kampung Ayer iaitu di sepanjang pesisiran Kota Batu di Sungai Brunei berjalan terus dan berkembang dengan pesatnya dalam zaman kegemilangan dan kegagahan negeri Brunei semasa pemerintahan Sultan Bolkiah, Sultan Brunei yang kelima.

Kewujudan “Padian” dapat dibuktikan melalui sumber tempatan, seperti yang diceritakan dalam beberapa rangkap daripada karya Syaer Awang Semaun (SAS), berbunyi:[2]

Pateh berbai empunya fikiran
Pasar di ayer bagus haturan
Di namainya pasar padian
Atau berjual gulai gulaian

Pateh berbai sabdanya indah
Janganlah kakanda pasar di tanah
Rakyat di negeri banyak terjumlah
Neschaya orang banyak berbantah

Bergubang itu terlalu bisai
Masing masing membawa lumai
Mesti berchampur sakalian sakai
Jikalau berbantah lekas di charai

Ternyata bahawa perdagangan tradisi “padian” merupakan suatu wadah membeli belah bagi seluruh penduduk yang tinggal di Kampung Ayer. Kegiatan jual beli di atas permukaan air ini hanya berlaku sehingga akhir abad ke-20. Kepupusan kegiatan berpadian ini adalah berpunca daripada adanya kepesatan pembangunan negara yang memberikan kemudahan dan keselesaan pengangkutan kepada penduduk-penduduk negara ini untuk pergi ke kedai-kedai runcit dan pasar-pasar yang banyak disediakan oleh pihak kerajaan dan swasta.



[1] John Bastin & Robin. W. Winks., Malaysia, Selected Historical Readings., Oxford Universtiy Press., Kuala Lumpur., 1966. Lihat juga Abdul Latif Haji Ibrahim., “Padian – its market and the women vendors”., Brunei Museum Journal., The Brunei Museum., Vol. 2., No. 1., 1970., hlm. 39.

[2] Abdul Latif Haji Ibrahim., “PADIAN – its market and the women vendors”., The Brunei Museum Journal., The Brunei Museum., Vol. 2., No. 1., 1970 (footnote 4)., hlm. 44. Lihat juga Haji Takong Amit., “Ekonomi Tradisional Kampong Ayer: Suatu Identiti Budaya Kerja Masyarakat Melayu Brunei”., Beriga., Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei., Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan., Julai – September., 1991., hlm. 6.


(Sumber diperolehi melalui tesis Doktor Falsafah Pengiran Dr. Hidop bin Pengiran Haji Samsuddin bertajuk “Kajian Budaya Dan Adat Istiadat Dalam Karya-Karya Kesusasteraan Brunei”., Universiti Brunei Darussalam., 2004)

No comments:

Post a Comment